INSAF
21/11/22 (Isnin), genap 2 hari selepas kami menjalani pilihanraya umum (PRU) untuk kali pertama, aku menerima berita sedih apabila untuk kali keduanya, aku kehilangan adik beradik jemaah. Walaupun aku tak rapat dengan arwah di pandangan orang awam, tapi dengan pernah bertamrin, berprogram, melaksanakan program dan bermeeting dengannya, cukup membuatkan aku rasa kehilangan yang besar. Seorang pemimpin yang sangat bagus kepada ahlinya, pendebat yang lantang berkata-kata, pemikir yang baik, penggerak yang tak kenal erti lelah, anak yang soleh kepada keluarganya dan hamba yang dekat kepada tuhannya. Jauh sekali aku untuk menjadi sepertinya.
Rakan-rakannya yang lain banyak kongsikan kebaikan arwah. Tidak kurang juga keluarganya yang ulang-ulang mengatakan arwah adalah anak yang soleh dan sangat baik akhlaknya. Sungguh memang sangat jauh dari aku. Dari kematiannya, terserlah segala kebaikannya melalui ramainya orang yang datang menemaninya pulang menghadap Allah. Terlalu ramai! Betullah, orang baik dan berbudi, ramai orang sayang. Mampukah aku? Entah bagaimana pengakhiran ku nanti. Entah ada tidak orang yang akan menyebutkan kebaikan ku sebanyak arwah, atau hanya keburukan ku yang diingati, Allah. Entah berapa ramai yang akan menemani ku ke liang lahad, atau hanya keluarga kecilku yang datang. Entah cukupkah amalan ku untuk dibawa pulang menghadap Allah tika nafas ku sudah berhenti. Aku hanya mampu berdoa semoga pengakhiranku baik-baik saja.
Kalian yang membaca ini menjadi saksi, bahawa hari ini aku berazam untuk menjadi lebih baik dari diriku yang sebelumnya. Untuk lebih dekat dengan tuhan. Untuk berhenti menyimpan dan menyebar kebencian. Untuk memperbanyakkan buat baik kepada orang sekeliling. Kerana hari ini aku sedar, hidup ini terlalu singkat untuk aku hidup dengan kebencian dan permusuhan. Namun aku tidak yakin mampukah aku untuk berubah. Kerana ini bukanlah pertama kali aku azamkan sedemikian. Sudah beberapa kali tapi entah kenapa tak menjadi. Mungkin aku harus cuba lagi. Cuma aku mohon, andai aku tidak dapat capai azamku di pengakhiran ku nanti, maafkan lah aku, ampunilah aku dan redhakan lah diriku. Rayuan ini untuk semua orang yang aku pernah buat silap dan yang aku pernah lukakan hati. Doakan aku, dan temanilah aku sepanjang 3 hari pertama kematianku dengan bacaan yaasin mu. Sungguh aku pasti sangat memerlukan doa dan bantuan dari mu tika itu.
Comments
Post a Comment